Wednesday 21 August 2013

Pengalaman Saya Menjadi Peserta 20-Hari OBS Classic Challenge Course.

Name saya Ag Mohd Dahlan @Awang mahu berkongsi serba sedikit pengalaman, pengetahuan, pembelajaran, semasa saya mengikuti program 20-Hari Classic Challenge Course di Outward Bound Sabah (OBS).

Tanggal 15 Julai 2013, tarikh bersejarah dalam hidup saya sebagai salah seorang peserta program Classic Challenge Course di OBS. Cerita saya bermula dengan penuh kedinginan dan kekosongan. Wahhhhh!! Lucu pula rasanya mahu ingat semula telatah saya pada hari pertama di OBS. CLIFFHANGER nama pilihan untuk kumpulan kami, rakan-rakan yang lain pula ialah Uncle John@Jonathan, Elly, Jamie, Fast, Wan, Hilda, Dahlia, Jivan, Douglas.

Hari demi hari berlalu semasa di OBS banyak mengajar saya tentang erti kehidupan, hidup berdikari, cara berkomunikasi, bimbingan moral yang sangat baik dari instructor tidak pernah saya lupa, thanks to our instructors Ira dan Leo. Pengalaman yang paling menyeronokan yang tidak pernah saya lupa semasa merentas separa Banjaran Crocker, walaupun penat berjalan namun tetap diteruskan tolong-menolong depan-belakang. Keperihatinan dan rasa tanggungjawab jurulatih kami pada masa tersebut membuatkan diri saya dan ahli kumpulan yang lain kembali bertenaga dan lebih bersemangat meneruskan aktiviti sehingga sampai ke destinasi.

Setelah empat hari kami mengembara di hutan rimba bertemankan kehijauan alam semulajadi berakhir dengan penuh makna. Indah rasanya berada di Banjaran Crocker yang penuh dengan kehijauan alam yang di jaga rapi dari anasir yang tidak bertanggungjawab seperti pembalakan haram, pembuangan sampah berleluasa, pembakaran hutan dan lain-lain lagi. Pengembaraan kami tidak berakhir di situ kerana destinasi seterusnya kami pergi ke Kampung Kaiduan di Daerah Papar. Selesai aktiviti di darat kami diberi aktiviti di dalam air pula. Wahhhh!!!! Rasa semakin mencabar. Kami diajar macam mana membuat rakit dan cara ikatan tali yang betul. Kami dibahagi kepada dua kumpulan kecil dan meneruskan aktiviti berakit dengan penuh semangat. Dari pagi hinggalah ke petang kami menaiki rakit dengan penuh cabaran, akhirnya kami sampai di kem OVAI di Kampung Kawang. Keesokan harinya pula, kami meneruskan destinasi seterusnya daripada Kampung Simpudu sehingga ke muara sungai Papar di Kampung Pengalat. Aktiviti ini sangat mencabar dari segi mental, kami semua stress apabila masuk kawasan paya bakau dan ada yang sampai bertekak leher. Bermalam di pantai Kampung Pengalat menjadikan kami sekumpulan kembali ceria apabila aktiviti luahan dilakukan, baik dan buruk dari hati kami dapat kami kongsi bersama, terima kasih kepada jurulatih Johnny dan Leo. Semasa perjalanan pulang melalui Laut China Selatan dipenuhi dengan nyanyian yang merdu dan gembira. Setelah sampai ke OBS, kami terus ke aktiviti Solo Camp. Banyak pengajaran dan pengetahuan yang dapat kami imbas kembali melalui semua aktiviti yang telah kami lakukan.

Saat yang paling menyedihkan saya apabila tiba hari perpisahan dengan empat rakan dari kumpulan kami iaitu Fast, Wan, Hilda dan Dahlia kerana mereka berempat tamat lebih awal dari kami. Rasa sedih juga bila teringat saat Wan menangis tidak sanggup berpisah dengan kami semua. Walaubagaimanapun enam orang 'survivor' yang lain perlu meneruskan program sehingga ke hari yang ke-20. Aktiviti kami seterusnya ialah kami di berikan tugasan mengurus satu syarikat penerbitan. Melalui aktiviti tersebut, kami di uji dari segi ketahanan mental untuk mengurus perniagaan kami. Syukurlah kami dapat melaksanakan semua tugasan yang di berikan dan kami dapat menghasilkan satu penerbitan dengan jayanya.

Seterusnya, gembira rasa hati bila di beri peluang berjalan di bandar dan makan bersama-sama selepas aktiviti pencarian khazanah bersejarah negeri Sabah. Keesokan harinya pula kami dibawa ke Rumah Kanak-kanak Bondulu Toboh, Tambunan. Inilah pengalaman paling manis bagi saya selama ini kerana kami diberi peluang membuat aktiviti bersama kanak-kanak di rumah tersebut. Setelah mendengar kisah-kisah hidup kanak-kanak di rumah tersebut, saya rasa sangat sedih dan tumpang simpati kepada mereka semua kerana ada yang tiada ibu bapa dari kecil, ada pula ditinggalkan ibu bapa kerana masalah rumah tangga dan ada juga kerana faktor pendapatan yang rendah. Saya rasa sangat bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang ini, pada mulanya saya rasa saya ini sangat susah dan jauh dari kasih sayang kerana saya pun sama seperti kanak-kanak di Bondulu Toboh, iaitu anak yatim piatu, tetapi setelah berkunjung ke rumah kanak-kanak Bondulu Toboh saya baru faham erti hidup dan macam mana cara kita mahu memberi warna dalam kehidupan kita dari kegelapan sehinggalah menjadi cahaya yang menerangi perjalanan hidup kita. Semangat hidup dalam diri saya terbuka setelah berkunjung ke sana dan saya tidak akan lupa inilah pengalaman paling manis dan bermakna dalam hidup saya.

Akhir sekali dari cerita saya, bukan hanya sekeping sijil dan bukan hanya kekuatan fizikal sahaja yang saya dapat dari program 20 hari CLASSIC CHALLENGE COURSE  OUTWARD BOUND SABAH, tetapi yang paling bermakna bagi saya ialah erti kehidupan, erti hidup berdikari, erti persahabatan, erti kerjasama , erti bersyukur dan erti kasih sayang. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada instructor yang telah membimbing kami dengan arif serta 'professional skills' yang mereka kongsikan bersama kami sepanjang program ini di jalankan iaitu Instructor Ira Farida dan Instructor Leo, tidak lupa juga kepada Instructor Johnny dan yang lain. 


  Nama saya Awang, pensyarah yang paling mantap sekali...mai berdebat.

Berikutla, kawan-kawan kami yang meninggalkan kami pada hari yang ke-15.

Hasil ciptaan kami, syarikat baru Lighthouse meyebarkan maklumat dan berita hangat
dari Bilik Laporan Berita.

Kami sempat lagi mengambil gambar dengan penjual kraftangan di KK semasa City Challenge.



Ditulis oleh Dahlan Del @ Awang.
Peserta Kursus 20 Hari CHC 15th July - 3rd August 2013

No comments:

Post a Comment

School Holiday Programme 2014

Hello there! Malaysia's school holidays are coming up in 3 weeks time. Most of you may wonder what to do during the holidays. Why n...